Monday 10 March 2014

PERNIKAHAN RASULULLAH S.A.W : NAFSU ATAU KEPENTINGAN AGAMA?

بسم الله الرحمن الرحيم


"Perlu diketahui bahawa ketentuan berpoligami turun pada akhir tahun ke-8 hijrah. Padahal Nabi berpoligami dengan sejumlah isteri sebelum tahun itu. Isteri beliau yang terakhir ialah Maimunah al-Harith al-Halaliyah. Tatkala hukum poligami ini turun dan dilarang berpoligami lebih daripada 4 orang isteri, maka Nabi pun dilarang berkahwin lagi lebih daripada jumlah isteri yang sudah ada. Rujuk surah al-Azhab ayat 52."

1. Khadijah Al-Khuwailid

Sebab Pernikahan :-

  • Akhlaknya mulia. Agamanya fitrah, sepupunya Waraqah bin Naufal seorang ahli kitab yang jujur.
  • Melindungi janda yang kematian suami.

Hikmah Pernikahan :-

  • Rasulullah tidak pernah menduakan Khadijah ketika hayatnya. Malah tidak mengambil hamba ketika hidup bersama Khadijah.
  • Khadijah ialah seorang isteri yang sentiasa menunaikan kewajipannya.
  • Mampu memberikan Baginda keturunan.
  • Bersama Baginda saat susah mahupun senang, ketika Baginda diancam dan dipinggirkan.
  • Bukankah Baginda menunjukkan contoh tidak menduakan isteri yang memiliki semua kualiti ini?

Tempoh pernikahan :-

  • 25 tahun.

2. Saudah binti Zam'ah

Sebab pernikahan :-

  • Menafkahi dan melindungi janda yang kematian suami. Suaminya mati akibat diseksa di Makkah kerana agamanya.

Hikmah pernikahan :-

  • Saudah dinikahi bersama Aisyah pada waktu yang sama iaitu pada tahun 620M selepas wafatnya Khadijah.
  • Pernikahan ini membuktikan keikhlasan Nabi membela wanita bukan kerana nafsunya kerana Saudah bukanlah wanita yang menarik bahkan gemuk dan uzur.
  • Rasulullah sangat insaf pada keterbatasan manusia bagi berlaku adil sehinggakan apabila Baginda sudah berpoligami, Baginda tidak jemu-jemu merayu taubat dan mengadu kepada Allah tentang keterbatasan itu. Aisyah berkata, "Rasulullah selalu membahagi giliran sesama isterinya dengan adil. Dan Baginda pernah berdoa, 'Ya Allah, ini bahagianku yang dapat ku kerjakan. Kerana itu, janganlah Engkau mencelaku tentang apa yang Engkau kuasai sedang aku tidak menguasai."

Konflik :-

  • Baginda pernah berniat menceraikan Saudah kerana berlaku adil bukanlah satu hal yang mudah.
  • Baginda takut pada persoalan Allah yang amat berat di akhirat.
  • Saudah sanggup memberikan haknya kepada Aisyah.

Tempoh Pernikahan :-

  • 13 tahun.

3. Aisyah binti Abu Bakar

Sebab Pernikahan :-

  • Perintah langsung daripada Allah SWT selepas kewafatan Khadijah dengan menghadirkan Aisyah dalam mimpi Baginda dalam beberapa malam.

Hikmah Pernikahan :-

  • Aisyah banyak meriwayatkan hadis dan menjadi saksi dalam hidup seharian Baginda yang menjadi sumber hukum selepas al-Quran.
  • Rasulullah menikahi Saudah dan Aisyah pada masa yang sama. Cuma faktor umur Aisyah menyebabkan Baginda menjemput saudah terlebih dahulu hidup bersama Baginda. Di sinilah bermulanya hidup berpoligami Rasulullah.
  • Hikmahnya, isteri-isteri Baginda reda mereka akan hidup berpoligami sejak awal kerana Rasulullah mahu membela janda-janda yang suaminya syahid dalam perang, kerana agama. Rasulullah tidak pernah merahsiakan perkahwinannya daripada mana-mana isteri.
  • Pernikahan dengan Aisyah membawa hikmah yang besar apabila Aisyah muncul sebagai guru yang agung bagi umat manusia kesan mendapat didikan secara langsung daripada madrasah kenabian sejak kecil.

Konflik :-

  • Konflik dengan anak tiri. Aisyah bercerita, "Rasulullah SAW masuk ke rumahku dan Baginda mendapatiku sedang menangis. Baginda bertanya, "Mengapakah dinda menangis?" Aku menjawab, "Fatimah menghinaku." Kemudian Rasulullah mendamaikan mereka.
  • Aisyah cemburukan madunya Zainab binti Jahsi, dia berkata, "Beliau (Rasulullah) berada di sana melebihi waktu saya maka saya cemburu." Aisyah kemudiannya berunding dengan Hafshah merancang satu komplot. Siapa sahaja isteri Nabi yang didatangi Baginda, harus mengatakan, "Sesungguhnya aku mencium bau maghafir (makanan yang baunya tidak enak) padamu, adakah kamu baru habis minum maghafir?" Maka setiap isteri yang didatangi Baginda, meraka akan bertanyakan soalan yang sama. Nabi berkata, "Saya tadi minum madu di rumah Zainab dan saya tidak akan mengulanginya lagi." Maka turunlah ayat Allah : (at-Tahrim: 1-4) menegur pakatan bohong itu.

Tempoh Pernikahan :-

  • 13 tahun (10 tahun hidup bersama)

4. Hafsah binti Umar

Sebab Pernikahan :-

  • Menafkahi dan melindungi janda yang kematian suami. Suaminya mati akibat perang. Hafsah terpaksa menjanda dalam usia muda iaitu 18 tahun kerana suaminya yang cedera parah dalam perang Uhud meninggal di Madinah.

Hikmah Pernikahan :-

  • Meriwayatkan hadis dan menjadi saksi dalam hidup seharian Baginda.
  • Diberi kepercayaan memelihara dan menyimpan al-Quran ketika pemerintahan khalifah Abu Bakar.
  • Perceraiannya dengan Rasulullah menunjukkan bahawa itu suatu yang halal dalam Islam namun ia tidak digalakkan.
  • Ketaatannya kepada Allah mendorong Jibril mengarahkan Nabi merujuknya kembali. Jibril mengatakan bahawa Hafsah seorang wanita yang berpendirian teguh dan bakal menjadi bidadari untuk Rasulullah di syurga. Ia menunjukkan bahawa rujuk dalam penceraian. 

Tempoh Pernikahan :-

  • 8 tahun.

5. Zainab binti Khuzaimah

Sebab Pernikahan :-

  • Menafkahi dan melindungi janda yang kematian suami. Suaminya mati akibat perang.

Hikmah Pernikahan :-

  • Menunjukkan contoh banyak beralah. Beliau tidak mahu menyaingi Hafsah dan Aisyah kerana beliau sedar kedudukan mereka tinggi di hati Nabi. Lagipun, beliau sedar Nabi menikahinya untuk kemaslahatan dirinya, bukan untuk kepentingan diri Nabi. Maka, beliau tidak mahu membebankan Nabi dengan cemburunya yang memang ada.

Tempoh pernikahan :-

  • 2 bulan.

6. Ummu Salamah

Sebab Pernikahan :-

  • Menafkahi dan melindungi janda yang kematian suami. Suaminya, Abu Salamah cedera dalam peperangan Uhud lalu meninggal dunia.

Hikmah Pernikahan :-

  • Banyak meriwayatkan hadis dan menjadi saksi dalam kehidupan Baginda.
  • Kebijaksanaannya membawa berkat yang besar terutamanya dalam memberikan buah fikiran yang bernas kepada Nabi dalam peristiwa Hudaibiyah.

Tempoh Pernikahan :-

  • 7 tahun.

7. Zainab binti Jahsi

Sebab Pernikahan :-

  • Perintah Allah.

Hikmah Pernikahan :-

  • Zainab sejak awal amat bercita-cita menjadi isteri Rasulullah.
  • Zainab menunjukkan pengorbanan agung apabila terpaksa rela menikahi lelaki yang tidak disukainya semata-mata mahu memenuhi perintah Rasul dan rencana Ilahi yang merancang sesuatu.
  • Suami Zainab yang pertama ialah Zaid bin Haritsah (anak angkat Nabi Muhammad) juga dikenali sebagai Zaid bin Muhammad. Rasulullah sendiri meminang Zainab, si gadis bangsawan untuk Zaid, si pemuda miskin bagi menggugurkan perbezaan darjat di antara manusia.
  • Ketika rumah tangga mereka bergolak, Rasulullah menyuruh Zaid bersabar dengan Zainab. Hinggalah Allah menurunkan ketentuan-Nya agar Nabi menikahi Zainab selepas Zaid menceraikannya. Hikmahnya, ia menghapuskan hukum anak angkat.
  • Zainab merupakan seorang yang sangat pemurah.

Konflik :-

  • Anas merekodkan, Zainab sering berbangga-bangga atas para isteri Rasulullah yang lain kerana dinikahkan oleh Allah dari tujuh lapis langit.
  • Dia sering dicemburui. Aisyah berkata, "Dia (Zainab) adalah isteri Nabi SAW yang nyaris setara denganku dibandingkan dengan isteri-isteri yang lain. -HR Bukhari-
  • Mengejek Shafiyah binti Huyay sebagai anak Yahudi sehingga Rasulullah marah kepadanya dalam tempoh yang agak lama.

Tempoh Pernikahan :-

  • 7 tahun.

8. Juwairiyah binti al-Haris

Sebab Pernikahan :-

  • Strategi politik demi kepentingan agama.

Hikmah Pernikahan :-

  • Saat Rasulullah SAW mendapat tawanan wanita daripada Bani Mushtaliq, terdapat seorang janda bernama Juwairiyah binti al-Harith bin Abi Dhirar di tangan sepupunya. Lalu dia menemui Rasulullah SAW bagi meminta pertolongan. Lalu Rasulullah menawarkan dirinya untuk menikahi puteri pemimpin kaumnya itu. Juwairiyah bersetuju. Hasilnya, semua tawanan Bani Mushthaliq menjadi kerabat Baginda dan menyebelahi perjuangan Baginda. Mereka lalu dibebaskan. Dakwah semakin tersebar. Hal ini amat menguntungkan Islam.

Tempoh Pernikahan :-

  • 6 tahun.

9. Ummu Habibah / Ramlah binti Abu Sufyan

Sebab Pernikahan :-

  • Menafkahi dan melindungi janda yang suaminya murtad.

Hikmah Pernikahan :-

  • Memberi tamparan hebat kepada ayahnya, Abu Sufyan yang ketika itu sangat kuat menentang Islam.
  • Membuktikan bahawa anak tidak menanggung dosa ayahnya. Walaupun ayahnya seorang yang memusuhi Islam, namun anak yang beriman tidak dikeji sekali sebaliknya dimuliakan sebagai isteri Nabi.

Tempoh Pernikahan :-

  • 5 tahun.

10. Shafiyah binti Huyay

Sebab Pernikahan :-

  • Strategi politik, demi kepentingan agama.
  • Beliau menjadi janda kerana suaminya dibunuh akibat khianat.
  • Beliau juga menjadi anak yatim kerana ayahnya dipancung akibat tetap mahu bermusuh dengan Nabi hingga ke akhir hayat.

Hikmah Pernikahan :-

  • Shafiyah menjadi tawanan dalam perang Khaibar, kemudian dimuliakan menjadi isteri Nabi.
  • Melalui pernikahan dengan cendekiawan Bani Nadhir ini, Rasulullah membuktikan bahawa permusuhan Islam dengan Yahudi bukan kerana sentimen perkauman tetapi kerana kedengkian Yahudi terhadap Islam.

Konflik :-

  • Seperti biasa. Cemburu dan dicemburui.
  • Menangis teresak-esak kerana diejek Hafsah sebagai anak Yahudi. Nabi lalu memujuknya.
  • Ketika Nabi sakit, Shafiyah menunjukkan keprihatinannya dengan berkata ingin menanggung derita Nabi sehingga isteri-isteri Nabi menjuihkan bibir. -HR Ibnu Saad-

Tempoh Pernikahan :-

  • 4 tahun.

11. Mariyah al-Qibtiyah

Sebab Pernikahan :-

  • Menafkahi dan melindungi hamba daripada Mesir yang dihadiahkan oleh Muqauqis, Raja Mesir kepada Nabi.

Hikmah Pernikahan :-

  • Dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Ibrahim. Lalu Mariyah dimerdekakan. Namun usia anak kecil itu tidak panjang, hanya 19 bulan.

Tempoh Pernikahan :-

  • 4 tahun.

12. Maimunah binti al-Harits

Sebab Pernikahan :-

  • Strategi politik, demi kepentingan agama.
  • Melindungi dan menafkahai janda yang diceraikan suaminya kerana keislamannya.

Hikmah Pernikahan :-

  • Tamparan kepada kaum musyrikin. Keislaman Maimunah yang berani diisytiharkan secara terang-terangan mempengaruhi ramai penduduk Makkah yang lain.
  • Dia menawarkan dirinya sendiri bagi dinikahi oleh Rasulullah ketika meletusnya perjanjian Hudaibiyah. Ramai gadis yang menawarkan diri kepada Nabi namun semua ditolak kecuali janda ini atas kepentingan agama. 

Tempoh Pernikahan :-

  • 4 tahun.

13. Raihanah binti Zaid 

Sebab pernikahan :-

  • Tawanan perang daripada bangsa Yahudi yang masuk Islam, dibebaskan dan dinikahi Nabi.

Hikmah Pernikahan :-

  • Terbelanya Surriyah iaitu hamba yang disediakan tempat kediaman untuknya seperti mana Mariyah al-Qibtiyah (Rujuk Mukhtar Al-Sihah)

Sumber: dipetik dari sebuah novel Tauhid, karangan Ustazah Fatimah Syarha binti Mohd Noordin.


Wallahua'lam :) Sebarkan Cinta-Mu! 


1 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Post a Comment