بسم الله الرحمن الرحيم
1) PENGHAPUS/PENEBUS DOSA
Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
"Barangsiapa berselawat untukku sekali, maka tidak ada baginya dosa walupun sebesar zarah atau biji sawi."
Dari Hasan bin Ali bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
"Perbanyakkanlah olehmu sekalian membaca selawat untukku kerana sesungguhya bacaan selawatmu menyebabkan keampunan terhadap dosa-dosamu & mintalah kepadaku akan wasilah (perantara) & darjat yang tinggi, kerana perantaraanku di sisi Tuhanku itu menjadi syafaat bagi kamu sekalian."
Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa membaca selawat untukku, maka Allah memberikan kepadanya 10 selawat. Dihapuskan daripadanya 10 dosa serta diangkat 10 darjat."
Nabi s.a.w bersabda:
"Barangsiapa membaca selawat untukku pada hari Jumaat sebanyak 80 kali, maka diampuni Allah segala dosanya selama 80 tahun."
2) TIDAK MERASA KEBINGUNGAN PADA HARI KIAMAT
Nabi s.a.w bersabda:
"Barangsiapa membaca selawat untukku 10 kali pada waktu pagi & 10 kali pada waktu petang maka Allah akan mengamankannya daripada kejutan yang maha besar pada hari kiamat & adalah dia akan berada bersama-sama dengan para nabi & para siddiqin."
Diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud r.a bahawa di berkata, Nabi s.a.w bersabda di kelompok para sahabat:
"Sesungguhnya di antara umatku nanti ada beberapa kaum yang Allah berfirman kepada mereka pada hari kiamat dengan firman-Nya;
"Hai para hamba-Ku! Masuklah kamu sekalian ke dalam syurga".
Maka mereka bingung & tercengang di padang yang luas (Padang Mahsyar) pada hari kiamat terhadap seruan Allah itu untuk masuk ke syurga.
Baginda ditanya oleh para sahabat,
"Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab,
"Mereka adalah orang-orang yang bila namaku disebut di hadapannya tetapi mereka tidak mahu membaca selawat untukku oleh sebab lupa & lalai."
3) DAPAT DUDUK BERHAMPIRAN DENGAN RASULULLAH S.A.W
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Orang yang paling utama bersamaku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak membaca selawat untukku."
4) MENYEBABKAN DOA DIMAKBULKAN ALLAH SWT
Kata Fadalah bin Ubaid:
Nabi s.a.w mendengar seorang lelaki berdoa di dalam solatnya tanpa membaca selawat untuk Nabi s.a.w., maka Nabi s.a.w bersabda kepadanya & kepada yang lain-lain:
"Apabila seseorang di antara kamu mengerjakan solatnya hendaklah dia memulai dengan memuji Allah & menyanjung-Nya, kemudian membaca selawat untuk Nabi s.a.w kemudian berdoa sesudah itu sekehendak hatinya."
Dari Anas bin Malik r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:
"Tiada doa seseorang kecuali di antara doa itu & langit terdapat satu pendinding/penghalang (hijab) sehingga dibacakan selawat untuk Nabi s.a.w. Apabila telah dibacakan selawat maka terbukalah/pecahlah pendinding itu & masuklah doa itu (naik ke langit & dimakbulkan Allah). Sebaliknya jika tidak membaca selawat untuk Nabi s.a.w, maka kembalilah doa itu kepada tuannya iaitu orang yang berdoa (doa itu tidak diterima Allah)."
5) MEMPEROLEHI PAHALA SEPERTI PAHALA MEMERDEKAKAN HAMBA
Diriwayatkan daripada Wahab bin Munabbih bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda:
"Barangsiapa membaca selawat untukku 10 kali maka seakan-akan dia telah memerdekakan seorang hamba sahaya."
6) MENGHASILKAN SYAFAAT ATAU PERTOLONGAN RASULULLAH S.A.W
- Syafa'atul 'Udzma (syafaat yang besar)
Hanya dimiliki & dapat diberi oleh Rasulullah s.a.w sahaja kepada seseorang yang memerlukan syafaat daripada baginda. Dari Ubay bin Ka'ab r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda,
"Jika hari kiamat telah tiba, maka akulah yang menjadi imam para nabi, juru khutbah mereka & aku sahajalah yang memiliki syafa'at 'Udzma; hal yang demikian ini tidak bermakna yang aku hendak bermegah-megah."
(Hadis Riwayat Imam Abu Dawud)
- Syafa'atul Sughra
Dikurniakan Allah kepada hamba-Nya yang selain dari Rasulullah s.a.w sendiri. Sabda Nabi s.a.w:
"3 macam orang yang dapat memberikan syafaat pada hari kiamat ialah para nabi, para ulama & para syuhada."
Abu Darda' meriwayatkan bahwa Nabi s.a.w bersabda,
"Orang yang mati syahid itu dapat memberikan syafaat kepada 70 orang dari kalangan keluarganya."
Dari Jabir bin Abdullah berkata bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang mendengar azan membaca,
"Ya Allah Tuhan Pemilik seruan yang sempurna ini & pemilik solat yang tegak berdiri, berikanlah kepada Nabi s.a.w akan perantaraan & keutamaan serta darjat yang tinggi & angkatlah dia pada kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan. Sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji."
Maka seharusnyalah dia mendapat syafaatku pada hari kiamat.
7) MENGHASILKAN KEBAJIKAN & MENDAPAT PENGHORMATAN DARI NABI S.A.W
Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w sedang duduk di masjid. Maka masuklah seorang lelaki muda & baginda pun memuliakannya serta mempersilakan duduk di dekat baginda di atas tempat duduk Abu Bakar r.a sambil baginda memberikan alasan kepada Abu Bakar r.a dengan sabdanya,
"Hai Abu Bakar, aku memberikan tempat duduk kepadanya lebih tinggi daripada engkau kerana di dunia ini tidak ada seorangpun yang membaca selawat untukku lebih banyak daripadanya. Sesungguhnya orang muda ini setiap pagi & setiap malam membaca selawat yang beerti:
" Ya Allah, tambahkanlah kesejahteraan untuk Muhammad sebanyak bilangan orang-orang yang tidak membaca selawat untuknya. Tambahkanlah kesejahteraan untuk Muhammad sebagaimana Engkau telah memerintah kepada kami membaca selawat untuknya serta tambahkan pula kesejahteraan untuk Muhammad sebagaimana semestinya yang dibaca untuknya."
Itulah sebabnya aku dudukkan dia lebih tinggi daripada engkau wahai Abu Bakar.
8) MEMPEROLEHI PERHUBUNGAN YANG RAPAT DENGAN NABI S.A.W
Hadis yang diriwayatkan oleh sahabat Ausin r.a, katanya Nabi s.a.w bersabda:
"Perbanyakkanlah olehmu sekalian membaca selawat untukku pada hari Jumaat kerana sesungguhnya selawatmu itu ditampakkan/disampaikan kepadaku.
9) MENDAPAT PELUANG MEMASUKI & MENJADI PENGHUNI SYURGA
Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Auf bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Telah datang kepadaku Malaikat Jibril & berkata:
"Hai Muhammad, tidak seorangpun yang membaca selawat untukmu kecuali (semuanya) dibacakan selawat oleh 70,000 malaikat & barangsiapa yang dibacakan selawat oleh para malaikat, maka dia tergolong ahli syurga."
10) MENGHILANGKAN KESUSAHAN
Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
"Barangsiapa membaca selawat untukku tiap-tiap hari 500 kali maka dia tidak akan fakir/miskin buat selama-lamanya."
11) SENTIASA BERSAMA MALAIKAT RAHMAT
Nabi s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang membaca selawat untukku kerana mengagungkan (menghormati) aku maka Allah menciptakan dari selawat itu satu malaikat yang mempunyai 2 sayap; satu sayap di timur & satu sayap di barat, sedang 2 kakinya di bawah bumi ketujuh & lehernya sampai ke Arasy & Allah berfirman kepada malaikat tersebut,
"Bacalah selawat, mohonkanlah kesejahteraan untuk hamba-Ku ini sebagaimana dia telah membaca selawat untuk Nabi-Ku Muhammad s.a.w".
Maka Malaikat itupun membaca selawat (memohonkan kesejahteraan) untuknya sehingga hari kiamat.
12) MENGHARUMKAN BAU SESUATU MAJLIS & MENDAPAT KEBERKATAN MAJLIS
Dari Jabir bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Tiada suatu kaum yang duduk pada suatu majlis kemudian mereka bersurai tanpa membaca selawat untukku kecuali bubaran mereka itu berbau lebih busuk daripada bangkai."
13) BERKESEMPATAN MINUM DI TELAGA NABI S.A.W
Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya akan dikembalikan ke telagaku nanti pada hari kiamat suatu kaum yang aku tidak mengetahui mereka kecuali kerana mereka banyak membaca selawat untukku."
14) MENGABULKAN SEGALA HAJAT
Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya Allah mempunyai para malaikat sebanyak 70 yang sentiasa berjalan/bertebaran di muka bumi serta menyampaikan kepadaku salam daripada umatku. Apabila ada seseorang umatku yang membaca selawat untukku dalam sehari 100 kali, maka Allah mengabulkan 100 hajatnya; 70 di antara hajat itu di akhirat & 30 di dunia."
15) MENJADI SINAR (CAHAYA) PADA HARI KIAMAT
Dari Abi Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:
"Barangsiapa membaca selawat 100 kali untukku pada hari Jumaat, maka pada hari kiamat kelak dia datang dengan bersinar; sekiranya sinar itu dibahagi-bahagikan kepada semua makhluk nescaya mencukupi."
16) TERHINDAR DARIPADA SIFAT-SIFAT MUNAFIK
Anas r.a berkata bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:
"Barangsiapa membaca selawat untukku sekali maka Allah memberikan kepadanya 10 selawat. Barangsiapa membaca selawat untukku 10 kali maka Allah memberikan kepadanya 100 selawat & barangsiapa membaca selawat untukku 100 kali maka Allah memcatat pada 2 matanya (baginya) 2 kebebasan;
Terhindar daripada sifat munafik & terhindar dari neraka."
17) MENDAPAT KEUTAMAAN PADA HARI KIAMAT
Nabi s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya orang yang paling utama pada hari kiamat bagiku adalah yang paling banyak selawatnya untukku."
18) MALAIKAT MENOLONG MEMOHONKAN AMPUN DOSANYA
Nabi s.a.w bersabda:
"Barangsiapa menulis selawat untukku (menulis lafaz selawat) dalam sebuah kitab, maka para malaikat tetap memohonkan keampunan baginya selama namaku masih tertulis di dalam kitab."
19) SELAWAT MENJADI PENYAKSIAN KEPADA NABI S.A.W
Dari Ibn Umar r.a,
katanya bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Perbanyakkanlah olehmu sekalian membaca selawat untuk Nabimu kerana sesungguhnya aku (Nabimu) menyaksikan selawat itu dari kamu sekalian pada tiap-tiap hari Jumaat."
Wallahua'lam,
SOLLU 'ALA NABIYY :)
0 comments:
Post a Comment